Penipuan Kakitangan Bank Babit Kerugian RM473.82 Juta

Penipuan Kakitangan Bank Babit Kerugian RM473.82 Juta

Penipuan oleh kakitangan bank dilihat semakin serius kerana membabitkan kerugian berjumlah RM473.82 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2008 sehingga bulan lepas.

Bagaimanapun menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Perbankan Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supt Harjinder Kaur Gurdial Singh, keseluruhan kerugian dalam penipuan bank adalah lebih besar, yang direkodkan dalam tempoh itu berjumlah RM789,106,376.

Jumlah keseluruhan itu, katanya, termasuklah RM10.1 juta pada 2008, RM27.1 juta (2009), RM85.4 juta (2010), RM84.5 juta (2011), RM191.8 juta (2012) dan RM390 juta (Nov 2013), katanya kepada pemberita dalam wawancara khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di ibu negara, Jumaat.

Beliau berkata antara penipuan yang dilakukan kakitangan bank ialah mengeluarkan wang daripada akaun tidak aktif lebih dari tiga tahun dan deposit tunai tidak dimasukkan ke dalam akaun penerima.

Selain itu penyalahgunaan juga dibuat ke atas kemudahan overdraf oleh pengurus cawangan bank dengan menggunakan akaun simpanan, semasa dan simpanan tetap pelanggan melalui kad pengenalan, lesen serta penyata cukai individu untuk membuat pinjaman peribadi dan perumahan kepada pihak lain tanpa pengetahuan individu terbabit, katanya.

"Siasatan kami mendapati jenayah penipuan bank dilakukan oleh kakitangan bank sendiri merangkumi 60 peratus, 30 peratus oleh pihak pengurusan manakala 10 peratus oleh pemilik akaun sendiri," kata Harjinder Kaur.

Beliau berkata selain kes melibatkan kakitangan bank, penipuan lain yang melibatkan jenayah meliputi pecah amanah (CBT), pemalsuan dokumen, penyelewengan harta (CMP) dan cubaan menipu melalui bank.

"Lebih memeranjatkan dalam jenayah penipuan bank ini, 60 peratus pelaku jenayah itu adalah wanita berbanding lelaki hanya 40 peratus. Manakala mangsa penipuan 70 peratus adalah lelaki," katanya.

Harjinder Kaur berkata pegawai dan kakitangan bank dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan semasa memproses permohonan pinjaman oleh pelanggan.

"Orang ramai pula dinasihatkan berwaspada atas keselamatan butiran dan dokumen peribadi supaya tidak disalah guna oleh mana-mana pihak ketiga.

"Integriti dan tanggungjawab semua pelanggan dan pegawai serta kakitangan industri perbankan (perlu) sentiasa di tahap yang tinggi untuk memperkasakan pencegahan jenayah yang menjadi tanggungjawab bersama," katanya.

- 6 Dis 2013, BERNAMA